Sunday 29 January 2012

Senyumlah, Ia Sedeqah Yang Paling Mudah.



"Engkau tersenyum di depan saudaramu adalah sedekah"
(Riwayat Bukhari dari Kitabul Adab)

Menurut kajian yang dilakukan oleh Dr. David Song, seorang Pakar Pembedahan Plastik dan Pensyarah di University of Chicago Hospital, terdapat 12 otot yang digunakan untuk senyum. Manakala untuk bermasam muka pula, sebanyak 11 otot yang digunakan.




Menurut kajian Dr. David Song, antara otot-otot yang terlibat dengan senyuman tulus adalah:
  •     Zygomaticus major and minor (4)
  •     Orbicularis oculi (2)
  •     Levator labii superioris (2)
  •     Levato ranguli oris (2)
  •     Risorius (2)

Bagi bermasam muka pula, otot-otot yang digunakan adalah :
  •     Orbicularis oculi (2)
  •     Platysma (2)
  •     Corrugator supercilii (bilateral) and procerus (unilateral) (3)
  •     Orbicularis oris (1)
  •     Mentalis (1)
  •     Deppressor anguli oris (2)

Dr. David Song juga menjelaskan bahawa oleh sebab senyuman menggunakan lebih banyak otot, dipercayai lebih ramai yang bermasam muka berbanding tersenyum. Sayangnya, kebanyakannya tidak mengetahui bahawa menggunakan otot untuk senyum memberikan manfaat yang besar kepada otot muka supaya ia menjadi lebih cantik dan tegang...

Awet muda.

Mendengar perkataan ini, saya percaya anda pasti sedang tersenyum-senyum seorang diri sambil membayang-bayangkan wajah anda yang muda dengan kulitnya yang tegang sambil tangan bergerak perlahan ke segenap ruang muka dan diakhiri dengan menepuk-nepuk manja pipi anda...

Menurut Pakar Motivasi dan Pembangunan Kendiri, Proffesor Dr. Muhaya Mohamad, senyuman yang paling tulus akan berakhir dalam tempoh tujuh saat. Itulah yang dikatakan sebagai senyuman yang bermakna, bersih, suci, ikhlas dan jujur.

Apabila tersenyum, hormon endorfin banyak dikeluarkan. Endorfin adalah pil tahan sakit yang dikeluarkan oleh badan secara semula jadi tanpa kesan sampingan dan melahirkan rasa seronok. Endorfin ini juga dikenali sebagai feel good factor. Hanya yang tersenyum dengan senyuman dalam kategori Duchenne akan dapat menikmati apa yang dibawa oleh endorfin. Duchenne adalah istilah psikologi yang digunakan kepada senyum ikhlas, sejati, tulus dan asli.

Selain itu, senyum juga dapat memaksa serotonin keluar yang mana ia bertindak sebagai neurotransmitter bagi mengawal dan mengurangkan ketakutan dan kebimbangan.

Dengan senyum juga dapat membawa 10 peratus lebih banyak oksigen dan glukosa ke dalam alirran darah. Jadinya, kita akan lebih bertenaga untuk belajar dan bekerja. Apabila otak menjalani proses pembelajaran dan menggunakan ingatan jangka panjang, sebenarnya otak memerlukan 10 hingga 34 peratus daripada oksigen di dalam darah. Ketika tersenyum, badan akan berada di dalam keadaan yang relaks dan sudah pasti membantu sistem pertahanan badan dan saraf akan menjadi lebih cekap.

Apabila ekspresi muka pasif atau negatif, ia akan melambatkan otak untuk memproses maklumat yang dihantar. Proses pembelajaran adalah sukar untuk menyampaikan maklumat ke otak. Stres atau tekanan hanya akan menyebabkan mood menjadi negatif dan mengurangkan kebolehan untuk belajar dan mengingati hingga 45 peratus.

Senyuman akan menyihatkan, menenangkan dan akan mudah belajar. Tiada apa untuk dirugikan.

Maka, Tersenyumlah...

Saturday 28 January 2012

Bengkel Asas Membina Insan (BASMI), UiTM Sabah.

 27-29 Januari 2012 - Satu bengkel telah dianjurkan oleh pihak Jawatankuasa Pusat Islam (Sahabat), UiTM Sabah iaitu Bengkel Asas Membina Insan (BASMI) bertempat di Pusat Islam, UiTM, Sabah.
Bengkel ini melibatkan semua pelajar baru UiTM Sabah sejumlah lebih kurang 200 peserta. Pihak QSTC telah dijemput untuk mengisikan Slot Muhasabah pada malam kedua program yang mengenengahkan kefahaman tentang cinta kepada manusia, Rasulullah dan Allah.

Lima wakil QSTC telah bersinergi untuk menjayakan slot pada malam itu. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak SAHABAT UiTM Sabah kerana sudi menjemput pihak kami untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama para peserta dan AJK program.





Thursday 26 January 2012

Katakanlah Yang Baik Kepada Diri.

Perhubungan dapat dikategorikan kepada dua bahagian secara amnya iaitu perhubungan luaran dan perhubungan dalaman. Perhubungan luaran adalah bentuk perhubungan yang dilakukan dengan orang lain yang dihubungi. Manakala perhubungan dalaman pula merupakan bentuk perhubungan yang dilakukan dengan diri sendiri.

Perhubungan sangat berkait rapat dengan cara kita berkomunikasi kerana perhubungan hanya dapat berlaku apabila telah berlakunya komunikasi. Oleh itu, komunikasi juga berlaku dalam dua bentuk - komunikasi luaran dan komunikasi dalaman.

Dan keberjayaan sesuatu perhubungan pula sangat-sangat berkait rapat dengan nilai kepercayaan. Kepercayaan kepada orang yang dihubungi menentukan keberjayaan hubungan dan komunikasi luaran yang berlaku manakala kepercayaan kepada diri sendiri menentukan keberjayaan hubungan dan komunikasi dalaman pula.

Sekiranya kepercayaan seseorang itu tinggi terhadap dirinya sendiri, maka InsyaAllah ia akan berjaya dalam komunikasi dengan dirinya sendiri.

Sebaliknya, jika kepercayaan seseorang sudah terjejas, apalagi jika sudah pupus, maka sukarlah komunikasi berlaku samada secara dalaman atau luaran.

Dan perlu ditekankan bahawa komunikasi luaran, banyak dipengaruhi oleh bentuk komunikasi dalaman terlebih dahulu. Hal ini kerana kemahiran berkomunikasi dalaman inilah yang boleh menentukan kemampuan seseorang memilih responnya. Jika baik kemahiran komunikasi dalaman ini, maka semakin berkuasalah seseorang dalam memilih tindakannya dan semakin berjayalah ia dalam kehidupannya.


Baiki Komunikasi Diri

Dalam hari-hari yang dilalui, kita sering membincangkan bagaimana seseorang dapat membaiki perhubungan dengan orang lain melalui komunikasi. Tetapi jarang kita mendengar seseorang membantu perhubungan dengan dirinya sendiri dengan cara berkomunikasi.

Sedangkan komunikasi terhadap diri sendiri inilah yang banyak membentuk dan mengarah komunikasi kita dengan orang lain. Misalnya orang yang sentiasa memandang dunia ini hanya dipenuhi dengan kesedihan, dan sering berkata kepada diri sendiri "Aku tidak bahagia", mana mungkin mampu untuk memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada orang lain.

Kerana itu, faktor utama agar komunikasi dengan diri sendiri ini dapat berjaya adalah faktor kepercayaan. Kepercayaan untuk meyakini kebolehan, kemampuan dan kelebihan diri sendiri.

Kerana itu, Islam meletakkan sifat syukur dan qanaah ditempat yang tinggi agar diri sendiri dapat menerima dan mempercayai kebolehan dan kemampuan diri. Selain itu, Islam membentuk sistem kepercayaan (belief system) penganutnya untuk percaya dengan yakin bahawa segala yang berlaku terhadap diri adalah yang terbaik untuk dirinya yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Sekali pun perkara yang berlaku itu adalah kegagalan. Kerana ia adalah sebagai ujian yang bersesuaian dengan keupayaannya, tidak lain tidak bukan untuk meningkatkan darjat diri. Kepercayaan inilah yang menjadikan umat Islam sentiasa positif dan mengekalkan nilai-nilai positif dalam diri.

Keyakinan ini pula banyak dibentuk oleh keluarga, suasana, kawan-kawan dan pengalaman-pengalaman dalam kehidupan. Jika keyakinan yang dibentuk itu adalah keyakinan yang positif, maka positiflah komunikasi dalaman yang berlaku. Dengan keyakinan yang membantu kmunikasi dalaman yang positif akan menjadikan seseorang itu lebih rajin, positif dan optimis. Perkara yang sebaliknya pula akan berlaku andai keyakinan yang dibentuk tu adalah keyakinan yang negatif.

Sikap tidak mempercayai diri sendiri lebih merosakkan diri daripada sikap tidak mempercayai orang lain. Mereka yang tidak meyakini dengan keupayaan, kebolehan dan kelebihan dirinya sendiri tidak akan dapat mencapai kejayaan dalam hidupnya.

Maka, kepercayaan terhadap diri sendiri adalah penentuan kepada arah komunikasi dengan dirinya sendiri seterusnya perhubungan dengan dirinya sendiri yang seterusnya mempengaruhi perhubungannya dengan orang lain.

Faktor kedua keberjayaan dalam komunikasi dalaman ini pula ialah percakapan terhadap diri sendiri. Mengikut kajian, kita sebenarnya lebih banyak bercakap dengan diri sendiri berbanding dengan orang lain. Namun, alangkah malangnya apabila 70% percakapan terhadap diri sendiri ini adalah negatif. Maka, untuk berjaya, kita perlu menukar percakapan yang negatif ini kepada sesuatu yang positif.

Oleh itu, katakanlah sesuatu yang positif kepada diri selalu, dan itu adalah petanda kita telah bersangka baik terhadap diri sendiri. Seterusnya percayalah terhadap diri sendiri agar komunikasi dalaman yang dilakukan berjaya.

Kerana itu kita disuruh untuk berdoa dalam keadaan kita mendengar dan mengetahui apa yang kita minta. Kita juga disuruh untuk memahami dan membaca dalam kadar kita dapat mendengar bacaan kita ketika solat. Bukanlah kerana supaya Allah dapat mendengar kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Tetapi supaya kita sendiri sentiasa membaharui kepercayaan dan sentiasa kekal positif terhadap diri.


Mari Mulakan!

Jadi, semaklah apa yang sering kita katakan kepada diri kita sendiri.
    "What you put inside is what will coming out"

Apa yang kita katakan terhadap diri kita sendiri jauh lebih penting daripada apa yang orang lain katakan terhadap kita. Oleh itu, katakan sesuatu yang positif kepada diri kita sendiri selalu, itu petanda kita telah bersangka baik terhadap diri sendiri...


INGATLAH, BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI ADALAH MODAL UNTUK BERSANGKA BAIK KEPADA ORANG LAIN!

Tuesday 24 January 2012

Sedikit Kata-kata Daripada Peserta Kem Muzikal Anak Soleh 2011.


Bismillah wal hamdulillah. Setinggi-tinggi pujian bagi Allah s.w.t. di atas segala nikmat kurniaannya.

Kami di pihak Quest Solution Training & Consultancy ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada adik-adik peserta Kem Muzikal Anak Soleh yang telah meluangkan masa untuk menulis dan berkongsikan pengalaman sepanjang kem ini.

Sebagai salah satu tanda penghargaan kami, kami petik beberapa petikan dari cerita adik-adik dan  kami letakkan di sini untuk tatapan para pembaca. Semoga semua yang membaca akan beroleh manfaat, InsyaAllah.

Selamat membaca :)



"Program ini amat santai namun banyak pengisian. Program ini telah membuka mata ana akan pengorbanan ibu bapa terhadap anak mereka dan betapa pentingnya kita menghormati ibu bapa kita kerana tidak mungkin kita dapat membalas segala pengorbanan mereka terhadap kita. Memandangkan ibu bapa adalah isu yang sensitif, sepanjang 3 hari 2 malam ana menyertai program itu ana menangis. Tapi tidak apa, ana menangis untuk kebaikan dan insyaAllah dikurniakan pahala. Janganlah kita menangis untuk sesuatu yang sia-sia kerana Islam melarang umatnya melakukan perkara yang sia-sia."

"Kenangan ana yang paling manis adalah apabila ana teresak-esak menulis doa untuk ibu bapa ana, doa itu lahir dari lubuk hati ana yang paling dalam dan doa itu telah menjadi bacaan ana setiap kali selepas solat. Semoga doa itu dimakbulkan Allah swt."


Daripada adik Nurdiyanah Afiqah binti Noraman.
Tulisan penuh boleh dibaca di sini.




"Seterusnya adalah ceramah yang disampaikan oleh Abang Amin. Permulaannya Abang Amin berlagak biasa seperti selalu, semakin memuncak bicaranya berkenaan ibu bapa, aku sedaya upaya menahan akan tangisan jiwa dan perasaanku. Tetapi ketentuan tak dapat ditahan, disuruh kami menutup mata dan bermulalah derai titisan daripada kelopak mata beserta berlinangan air mata akan terkenang di hati akan ibu bapaku. Itulah kali keduaku menangis jua walau kuat ditahan mana sekali pun."

"Bagai kehausan dahaga kasih dan penghargaan dari seorang yang bergelar 'abang',aku tak tahan akan golakan hati lalu memeluk abang Amin di sertai sedikit air mata dengan erat."

Mohd Shazlin bin Jualin
Tulisan penuh boleh dibaca di sini.



"3 hari 2 malam berada di kem ini air mata ana sering mengalir , Alhamdulillah , air mata yang keluar merupakan air mata yang ikhlas-seikhlasnya dari lubuk hati ana .. ana tidak merasa malu kepada semua orang yang menghadiri kem itu apabila ana mengalirkan air mata , kerana ana tahu kita tidak boleh malu untuk mengeluarkan air mata :) , apatah lagi air mata yang mengalir itu adalah air mata keinsafan :) .."

Norhaslinda binti Muslie
Tulisan penuh boleh dibaca di sini.

Saturday 14 January 2012

Kem Muzikal Anak Soleh 2011.

Bismillah wal hamdulillah.

Syukur kepada Allah s.w.t. kerana sifat kasih dan sayangnya yang Maha Sempurna, maka Kem Muzikal Anak Soleh yang julung-julung kalinya diadakan ini telah berjaya disempurnakan. 

Alhamdulillah, penganjuran kali pertama Kem Muzikal Anak Soleh ini menerima kedatangan adik-adik yang cerdas akalnya, kuat semangatnya, dan lembut hatinya sebagai peserta. Setinggi-tinggi kesyukuran kerana Allah s.w.t. telah mempertemukan kami dengan adik-adik ini.

Kem 3 hari 2 malam yang telah berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Putatan, Sabah ini telah digerakkan bertujuan untuk menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi Soleh. Generasi yang mampu mengepalai gelombang kebangktan Islam di Sabah.

Cinta Sebagai Teras

Secara ringkasnya, soleh dapat diertikan sebagai taat kepada perintah allah dan seringkali dikaitkan dengan iman. 

Dan orang-orang mukmin dan beramal soleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang haq dari Tuhan mereka, Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka. 
Surah Muhammad(47):2

Maka, generasi soleh yang cuba dibentuk sepanjang program ini adalah generasi yang cukup tanggungjawabnya kepada Allah samada dalam hubungan dengan manusia atau dengan Allah. Maka pencerahan kembara perjalanan mereka bermula pada membetulkan cara berfikir mereka dalam melihat kehidupan dan tujuan hidup. Agar nantinya mereka ini dapat hidup, dan tidak hanya sekadar satu lagi hidup-hidupan.

Seterusnya, menjadikan cinta sebagai asas kepada penyempurnaan sebuah kehidupan. 

Cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah, cinta kepada Ibu dan Ayah serta cinta kepada kebaikan. Maka, ini adalah antara cinta utama yang ditekankan sepanjang kem ini. 

Semoga, apa yang cuba disampaikan oleh pihak QSTC ini dapat diterima dan dihadam oleh adik-adik peserta.

Disebalik Pemilihan Tarikh

Antara komen awal yang kami terima berkenaan program ini adalah penetapan tarikh kem yang terlalu lambat iaitu pada 30 Dis 2011 - 1 Jan 2012. 

Untuk sedikit penjelasan, pemilihan tarikh ini pada asalnya bertujuan untuk menyediakan program alternatif kepada para remaja sempena kedatangan tahun baru. Dengan lambakan acara dan program berbentuk hiburan yang melalaikan, maka pihak kami memikirkan adalah wajar diadakan sebuah program Islam yang berbentuk santai, juga menghiburkan dan dalam pada masa yang sama dapat mendidik jiwa. Selain itu, kami juga ingin mempergunakan tarikh 1 Januari 2012 sebagai simbolik kepada kelahiran semula sebuah jiwa yang baru di dalam para remaja. Jiwa yang lebih erat kepada Yang Maha Pencipta, Allah s.w.t.

InsyaAllah, pihak QSTC akan mempertimbang segala cadangan dan komen serta merancang semula pemilihan tarikh yang dilihat bersesuaian untuk Kem Muzikal Anak Soleh yang seterusnya.

Nikmat dan Ganjaran Berharga

InsyaAllah, kami dari pihak QSTC berharap semoga para peserta Kem Muzikal Anak Soleh ini dapat benar-benar menjadi anak-anak yang soleh, penyejuk hati ibu dan ayah. Anak-anak yang menyandarkan segala cintanya kepada cintakan Allah s.w.t. terlebih dahulu. Anak-anak yang membina segala tadbir berlantaikan takdir. Anak-anak yang sentiasa bersemangat dan berbangga dengan Islam dirinya itu. Anak-anak yang rindu akan kebaikan. Juga, anak-anak yang bahagia dan membahagiakan. 

Agar kehidupannya itu nanti berharga dan bermakna. Di dunia dan di akhirat sana.

Jalan yang dilalui ini semamangnya payah dan penuh liku. Namun hanya itulah jalan yang satu. Untuk akhirnya nanti kta bertemu dengan Allah s.w.t yang dirindu.

Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. Surah An-Nahl(16):97

Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh ke dalam syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki. 
Surah Al-Hajj (22):14

Sebagai akhirnya, kami memohon sejuta kemaafan di atas segala kesalahan dan kekurangan sepanjang kem ini. Dan semoga dengan izin Allah s.w.t, kita akan dipertemukan semula lagi dalam keadaan yang lebih baik. 

Kami bukanlah insan yang terbaik, tetapi kami telah memberikan yang terbaik sepanjang program ini. Semoga Allah memberkati usaha kami, dan usaha kita semua. 

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | 100 Web Hosting