Thursday, 26 January 2012

Katakanlah Yang Baik Kepada Diri.

Perhubungan dapat dikategorikan kepada dua bahagian secara amnya iaitu perhubungan luaran dan perhubungan dalaman. Perhubungan luaran adalah bentuk perhubungan yang dilakukan dengan orang lain yang dihubungi. Manakala perhubungan dalaman pula merupakan bentuk perhubungan yang dilakukan dengan diri sendiri.

Perhubungan sangat berkait rapat dengan cara kita berkomunikasi kerana perhubungan hanya dapat berlaku apabila telah berlakunya komunikasi. Oleh itu, komunikasi juga berlaku dalam dua bentuk - komunikasi luaran dan komunikasi dalaman.

Dan keberjayaan sesuatu perhubungan pula sangat-sangat berkait rapat dengan nilai kepercayaan. Kepercayaan kepada orang yang dihubungi menentukan keberjayaan hubungan dan komunikasi luaran yang berlaku manakala kepercayaan kepada diri sendiri menentukan keberjayaan hubungan dan komunikasi dalaman pula.

Sekiranya kepercayaan seseorang itu tinggi terhadap dirinya sendiri, maka InsyaAllah ia akan berjaya dalam komunikasi dengan dirinya sendiri.

Sebaliknya, jika kepercayaan seseorang sudah terjejas, apalagi jika sudah pupus, maka sukarlah komunikasi berlaku samada secara dalaman atau luaran.

Dan perlu ditekankan bahawa komunikasi luaran, banyak dipengaruhi oleh bentuk komunikasi dalaman terlebih dahulu. Hal ini kerana kemahiran berkomunikasi dalaman inilah yang boleh menentukan kemampuan seseorang memilih responnya. Jika baik kemahiran komunikasi dalaman ini, maka semakin berkuasalah seseorang dalam memilih tindakannya dan semakin berjayalah ia dalam kehidupannya.


Baiki Komunikasi Diri

Dalam hari-hari yang dilalui, kita sering membincangkan bagaimana seseorang dapat membaiki perhubungan dengan orang lain melalui komunikasi. Tetapi jarang kita mendengar seseorang membantu perhubungan dengan dirinya sendiri dengan cara berkomunikasi.

Sedangkan komunikasi terhadap diri sendiri inilah yang banyak membentuk dan mengarah komunikasi kita dengan orang lain. Misalnya orang yang sentiasa memandang dunia ini hanya dipenuhi dengan kesedihan, dan sering berkata kepada diri sendiri "Aku tidak bahagia", mana mungkin mampu untuk memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada orang lain.

Kerana itu, faktor utama agar komunikasi dengan diri sendiri ini dapat berjaya adalah faktor kepercayaan. Kepercayaan untuk meyakini kebolehan, kemampuan dan kelebihan diri sendiri.

Kerana itu, Islam meletakkan sifat syukur dan qanaah ditempat yang tinggi agar diri sendiri dapat menerima dan mempercayai kebolehan dan kemampuan diri. Selain itu, Islam membentuk sistem kepercayaan (belief system) penganutnya untuk percaya dengan yakin bahawa segala yang berlaku terhadap diri adalah yang terbaik untuk dirinya yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Sekali pun perkara yang berlaku itu adalah kegagalan. Kerana ia adalah sebagai ujian yang bersesuaian dengan keupayaannya, tidak lain tidak bukan untuk meningkatkan darjat diri. Kepercayaan inilah yang menjadikan umat Islam sentiasa positif dan mengekalkan nilai-nilai positif dalam diri.

Keyakinan ini pula banyak dibentuk oleh keluarga, suasana, kawan-kawan dan pengalaman-pengalaman dalam kehidupan. Jika keyakinan yang dibentuk itu adalah keyakinan yang positif, maka positiflah komunikasi dalaman yang berlaku. Dengan keyakinan yang membantu kmunikasi dalaman yang positif akan menjadikan seseorang itu lebih rajin, positif dan optimis. Perkara yang sebaliknya pula akan berlaku andai keyakinan yang dibentuk tu adalah keyakinan yang negatif.

Sikap tidak mempercayai diri sendiri lebih merosakkan diri daripada sikap tidak mempercayai orang lain. Mereka yang tidak meyakini dengan keupayaan, kebolehan dan kelebihan dirinya sendiri tidak akan dapat mencapai kejayaan dalam hidupnya.

Maka, kepercayaan terhadap diri sendiri adalah penentuan kepada arah komunikasi dengan dirinya sendiri seterusnya perhubungan dengan dirinya sendiri yang seterusnya mempengaruhi perhubungannya dengan orang lain.

Faktor kedua keberjayaan dalam komunikasi dalaman ini pula ialah percakapan terhadap diri sendiri. Mengikut kajian, kita sebenarnya lebih banyak bercakap dengan diri sendiri berbanding dengan orang lain. Namun, alangkah malangnya apabila 70% percakapan terhadap diri sendiri ini adalah negatif. Maka, untuk berjaya, kita perlu menukar percakapan yang negatif ini kepada sesuatu yang positif.

Oleh itu, katakanlah sesuatu yang positif kepada diri selalu, dan itu adalah petanda kita telah bersangka baik terhadap diri sendiri. Seterusnya percayalah terhadap diri sendiri agar komunikasi dalaman yang dilakukan berjaya.

Kerana itu kita disuruh untuk berdoa dalam keadaan kita mendengar dan mengetahui apa yang kita minta. Kita juga disuruh untuk memahami dan membaca dalam kadar kita dapat mendengar bacaan kita ketika solat. Bukanlah kerana supaya Allah dapat mendengar kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Tetapi supaya kita sendiri sentiasa membaharui kepercayaan dan sentiasa kekal positif terhadap diri.


Mari Mulakan!

Jadi, semaklah apa yang sering kita katakan kepada diri kita sendiri.
    "What you put inside is what will coming out"

Apa yang kita katakan terhadap diri kita sendiri jauh lebih penting daripada apa yang orang lain katakan terhadap kita. Oleh itu, katakan sesuatu yang positif kepada diri kita sendiri selalu, itu petanda kita telah bersangka baik terhadap diri sendiri...


INGATLAH, BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI ADALAH MODAL UNTUK BERSANGKA BAIK KEPADA ORANG LAIN!

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | 100 Web Hosting